Monday, February 2, 2009

Punca-punca tersebarnya khianat


Saudara-saudara, fikirkanlah sejenak, apakah perkara yang menyebabkan
berlakunya gejala yang tidak sihat ini? Adalah satu perkara yang nyata bahawa
mereka yang melakukan gejala tidak sihat, seperti khianat, rasuah, menipu dan
sebagainya itu ialah sekumpulan mereka yang terpelajar dari kalangan kita di
negeri kita sendiri. Mereka itu orang-orang yang berkuasa dalam kerajaan.
Mereka bukanlah orang-orang kampung yang buta huruf.
Mereka itu juga adalah keluaran dari pusat-pusat pengajian tinggi kita
yang ada sekarang. Ini menunjukkan adanya kepincangan dalam sistem
pelajaran kita, kerana ia menghasilkan sebilangan besar orang yang terkena
penyakit khianat dan rasuah.
Apabila kita amati sistem pelajaran ini dapatlah kita mengetahui bahawa
kelemahan asasinya adalah disebabkan oleh asas-asas akidah, tamadun dan
akhlak kita yang sepatutnya berdiri tegak secara berkekalan, tetapi sebaliknya ia
lemah. Di sekelilingnya terdapat nilai-nilai yang mengelirukan dan galakangalakan
supaya orang ramai mengingkari akidah-akidah ini. Hanya sebilangan
yang sedikit saja yang melalui sistem ini dikatakan terselamat tanpa bergoyang
keimanan di hati mereka.
Apa yang memaksa kita berfikir sesudah apa yang saya katakan itu ialah
apabila akidah sebilangan besar kaum terpelajar menjadi lemah maka apakah
lagi yang ada pada kita untuk menjadikan mereka itu pendokong prinsip-prinsip
dan nilai akhlak?
Orang-orang yang tidak takut kepada Allah dan tidak gerun kepada azab
hari kiamat, tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalangnya daripada
menjadi pengkhianat, pembohong dan mempermudahkan tanggungjawab.
Orang yang tidak percaya kepada kekuasaan yang lebih tinggi selain dari
diri dan kepentingan sendiri, bagaimanakah saudara-saudara dapat meyakinkan
hatinya supaya ia dapat mengorbankan kepentingan dirinya sendiri demi
sesuatu kemuliaan? , kerana untuk sanggup berkorban dengan jiwa dan harta itu
adalah sebahagian dari tunduk kepada kuasa yang tertinggi.

Bagi orang-orang Islam tidak ada tempat yang mesti dipatuhi melainkan
kepada Allah, Rasulnya dan ugamanya. Apabila kita lemahkan perasaan patuh
ini di hati manusia maka akan tumbuhlah perasaan mementingkan diri dan
tidak akan ada lagi perasaan mahu mengorbankan sesuatu yang berharga dan
mulia selain daripada untuk mencapai tujuan-tujuan peribadi mereka.

0 Comments: